Ditulis oleh : ASAS

P E D O M A N

Email : asassg@yahoo.com

   Kuliah: Ust. Abdullah Loutfi                                                                                  


SIAPAKAH AHLI SYURGA & AHLI NERAKA?

Hendaklah kita menjadi orang yang baik di sisi Allah, agar kita tergulung dari orang yang beriman dan di masukan kedalam syurga Allah.

AHLI SYURGA

Syurga ialah kebun atau taman, ini bermaksud suatu perkampungan yang selamat di sediakan oleh Allah untuk orang-orang yang beriman dan beramal solih. Ini merupakan ganjaran diatas amalan yang baik yang mereka lakukan di dunia ini.

Orang yang beriman dijemput memasuki syurga dengan penuh hormat dan gembira. Semua penghuni syurga terdiri daripada para Nabi, Malaikat, para Ambiak dan orang-orang yang beramal solih.

Wajah penghuni syurga berseri-seri dan bercahaya, kehidupan mereka penuh dengan kesenangan dan kemewahan. Mereka akan menikmati apa saja yang di inginkan. Pinggan mangkok dan gelas yang di gunakan di perbuat daripada emas. Taman-taman yang penuh dengan buah-buahan, makan yang lazat-lazat dan berbagai-bagai kenikmatan lagi dan nikmat yang paling tingga ialah dapat melihat Allah.

Penghuni syurga akan dihiasi dengan emas, mutiara dan pakaian daripada sutera. Mereka akan tinggal dengan aman, selesa dan selama-lamanya. Terdapat anak sungai yang mengalir, bunga-bunga yang berbau harum serta beribu kenimatan yang tidak dapat di gambarkan.

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan menerima syurga sebagai balasan pada amalan yang telah mereka lakukan. Itulah jangi Allah kepada hambanya yang menurut perintah dan menjauhi larangannya. Mereka akan tinggal di syurga buat selama-lamanya.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 82.

Yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

Hadis Rasulullah s.a.w, Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Syurga? Para Sahabat menjawab: Ya! Rasulullah s.a.w bersabda: Mereka semua adalah orang yang lemah dan merendah diri, seandainya mereka bersumpah kerana Allah nescaya Allah akan memperkenankannya. Kemudian baginda bersabda lagi: Inginkah kamu aku beritahu tentang ahli Neraka? Mereka menjawab: Ya! Baginda bersabda: Mereka semua adalah orang yang selalu diagung-agungkan dan bermegah-megah serta sombong.

Allah berfirman dalam surah Al-A'raaf ayat 42.

Yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Hadis Rasulullah s.a.w., Abu Hurairah r.a: Seorang lelaki kampung telah datang mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku memasuki Syurga. Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardukan dan keluarkanlah zakat yang diwajibkan serta berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu orang itu berkata: Demi Allah yang berkuasa ke atas diriku, aku tidak akan menambah atau menguranginya sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku. Setelah orang itu beredar Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sesiapa yang ingin melihat ahli Syurga maka lihatlah kepada lelaki ini.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku benar-benar tahu ahli Neraka yang terakhir keluar dari sana dan ahli Syurga yang terakhir masuk ke Syurga iaitu seseorang yang keluar dari Neraka secara merangkak lalu Allah Taala berfirman kepadanya: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka dia pun mendatangi Syurga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah pun dipenuhi. Oleh itu dia kembali dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Syurga itu namun ianya telah penuh. Allah Taala berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga, maka dia pun mendatangi Syurga, tetapi terlintas di fikirannya bahawa Syurga itu telah dipenuhi lalu kembali semula dan berkata: Wahai Tuhanku, aku telah temui Syurga itu tetapi ianya telah penuh. Allah berfirman: Pergilah, masuklah ke dalam Syurga kerana sesungguhnya ianya untukmu seumpama dunia dan sepuluh kali gandanya atau sesungguhnya ianya bagimu sepuluh kali ganda dunia. Lelaki itu berkata: Adakah Engkau mengejekku atau mempermain-mainkan aku, kerana Engkau adalah Maharaja? Maka Abdullah bin Masud berkata: Aku benar-benar melihat Rasulullah s.a.w tertawa sehingga ternampak gigi geraham baginda dan dikatakan: Itulah Ahli Syurga yang paling rendah kedudukannya.

Allah berfirman dalam surah Yunus ayat 26.

Yang bermaksud: Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

* Penghuni syurga kebanyakannya daripada golongan miskin dan susah. Golongan ini juga adalah
   golongan yang mendahului masuk kedalam syurga. Jarak masa di akhirat nanti ialah separuh hari atau
   lima ratus tahun di dunia.

Hadis Rasulullah s.a.w., Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Terdapat dua buah Syurga yang diperbuat dari perak begitu juga isi kandungannya dan dua buah Syurga yang di perbuat dari emas begitu juga isi kandungannya. Kemampuan ahli Syurga untuk memandang Tuhan mereka hanyalah dihalangi oleh Hijab Keagungan pada zatNya di Syurga Adni.

SIFAT SYURGA

Allah berfirman dalam surah Muhammad (s.a.w.) ayat 15:

Yang bermaksud: Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!

AHLI NERAKA:

* Mereka yang rakus dan tamak, keras kepala, kejam, sombong serta tidak dengar nasihat.

* Mereka yang mepermain-mainkan (mempersenda-senda) agama Allah.

Neraka ertinya api atau kepanasan, di mana ia suatu tempat azab atau penyiksaan yang disediakan oleh Allah sebagai balasan terhadap hamba-hambanya yang melakukan melangar perintahNya dan bersyirik kepada Allah.

Keadaan dan suasana penghuni neraka, amat dahsyat dan mengerikan. Penyaksaan dan pederitaan yang dialamai oleh penghuni neraka, banyak digambarkan dalam Al-Qur'an. Sesungguhnya tiada seksa dan derita yang lebih pedih selain berada didalam neraka.

Allah berfirman dalam surah Al-Bakarah ayat 39.

Yang bermaksud: Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah berfirman dalam surah Al-Bakarah ayat 80 & 81.

Yang bermaksud: Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?"(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Diriwayatkan daripada al-Musayyab bin Hazn r.a katanya: Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah s.a.w bersabda: Pak cik! Ucaplah Dua Kalimah Syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: Wahai Abu Talib Sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Mutalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap Dua Kalimah Syahadat serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Mutalib malah enggan mengucapkan Kalimah Syahadat. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat Yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka. Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib Yang bermaksud: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam.

Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 113:

Yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

Allah berfirman dalam surah Yunus ayat 23.

Yang bermaksud: Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah berfirman dalam surah Al-Qasas ayat 56:

Yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Allah berfirman dalam surah Al-Mu'minuun ayat 104:

Yang bermaksud: Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.

Allah berfirman dalam surah Al-Ma'aarij ayat 15 hingga 18:

Yang bermaksud: Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya, (Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan, Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran), Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 24.

Yang bermaksud: Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

ORANG YANG BAIK

Rasulullah s.a.w bersabda:

* Sukakah kamu para sahabat, aku memberitahu orang yang terbaik daripada kamu - Orang yang terbaik daripada kamu, apabila dilihat terus teringat kepada Allah.

* Orang yang perangainya lemah-lembut dan apabila ia bersumpah, sumpah perkara yang benar.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya orang-orang miskin dari golongan muhajirin telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Orang-orang kaya mendapat kedudukan yang tinggi dan nikmat-nikmat yang kekal. Rasulullah bertanya: Apa itu? Mereka menjawab: Mereka bersembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sementara kami tidak mampu memerdekakannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan sebagaimana yang kamu lakukan itu. Mereka menjawab: Tentu saja, wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu bertasbih bertakbir dan bertahmid setiap kali setelah selesai dari sembahyang sebanyak tiga puluh tiga kali.

ORANG YANG JAHAT:

* Orang yang selalu berusaha membuat fitnah dan yang suka memutuskan persahabatan, yang selalu mencari keburukan orang lain.

Allah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 51.

Yang bermaksud: Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.

Hadis Rasulullah s.a.w Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukan besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggalah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.

SEMUGA TUAN-TUAN MENDAPAT FAEDAH DARI APA YANG DINYATAKAN DIATAS DAN SAMPAIKAN KEPADA MEREKA-MEREKA YANG MAHU BERINGAT

( SILA TEKAN BERIKUT UNTUK KE PEDOMAN PERBEZAAN )

PAPARAN UTAMA

* A M I N *

PEDOMAN PERBEZAAN