Ditulis oleh : ASAS

P E D O M A N

Email : asassg@yahoo.com

   Kuliah: Ust. Abdullah Loutfi                                                                                  


ALAM AKHIRAT (ALAM PERHITUNGAN )


Alam akhirat ialah alam yang terakhir yang kekal abadi tampa kesudahan, dimana segala amalan kebaikan/keburukan atau pahala dan dosa akan ditimbang. Alangkah beruntung jika amalan dan bekalan kebaikan melebihi amalan dosa . Di sinilah tempat menentukan sama ada kita akan dimasukan kedalam Syurga atau Neraka dan kita kekal didalamnya.

Allah berfirman dalam surah Lauman ayat 34.

Yang bermaksud: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

Allah berfirman dalam surah Az-Zalzalah ayat 1 hingga 8.

Yang bermaksud: apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebaikan kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (didalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (didalam surat amalnya)!

Allah berfirman dalam surah Al-Mu'minun, ayat 101 , juz kelapan belas .

Yang bermaksud : Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.

Allah berfirman dalam surah Yaasin ayat 51, 52, 53 & 54 juz kedua-puluh tiga.

Yang bermaksud : Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!, Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan). Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.

Allah berfirman dalam surah Yaasin ayat 65 juz kedua-puluh tiga.

Yang bermaksud: Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

Allah berfirman dalam surah Yaasin ayat 79 juz kedua-puluh tiga.

Yang bermaksud: Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya).

Allah berfirman dalam surah Al-Maaidah ayat 35.

Yang bermaksud: Allah berfirman: "Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar".

Allah berfirman dalam surah Al-An'aam ayat 16.

Yang bermaksud: Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesugguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata.

Allah berfirman dalam surah Al-Mu'minun, ayat 117 & 118.

Yang bermaksud: Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya dan balasan amalannya yang jahat itu. Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!"

Allah berfirman dalam surah Al-'Imraan ayat 9 hingga 12, juz ke tiga.

Yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya. Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka. (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya. Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".

Allah berfirman dalam surah Al-'Imraan ayat 25, juz ke tiga.

Yang bermaksud: Oleh itu, bagaimana pula hal keadaan mereka ketika Kami himpunkan mereka pada hari kiamat yang tidak ada syak padanya, dan pada hari itu juga disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Allah berfirman dalam surah Al-'Imraan ayat 30, juz ke tiga.

Yang bermaksud: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

Allah berfirman dalam surah Al-'Imraan, ayat 106, 107, 116, juz keempat .

Yang bermaksud : (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu". Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

Yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya. (Al-'Imraan ayat 116)

Perhatikan ayat-ayat Al-Qur'an yang difirmankan oleh Allah untuk menjadi pedoman/panduan kita bersama:

Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 44, juz ketiga belas.

Yang bermaksud: Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada sa'at itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhan kami, kembalikanlah kami ke dunia dan berilah tempoh kepada kami hingga kesuatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu, untuk mengesakanMU dan menta'ati perintahMu dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu. Dan rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka: Tidakkah kamu telah diberi tempoh untuk berbuat demikian dan bukankah kamu telah bersumpah semasa kamu dalam dunia dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan.

Allah berfirman dalam surah As-Sajdah ayat 12, juz keduapuluh satu.

Yang bermaksud: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

Allah berfirman dalam surah Asy-Syuura, ayat 22, juz keduapuluh lima.

Yang bermaksud: (Pada hari kiamat) engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar.

Allah berfirman dalam surah Asy-Asyuura, ayat 44 & 45, juz keduapuluh lima.

Yang bermaksud: Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolong. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab, (pada hari kiamat) berkata: Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia. Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk bisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai), sambil memandang keneraka, hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang beriman pun berkata: Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat, dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia. Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal.

Allah berfirman dalam surah Faatir ayat 37, juz keduapuluh dua.

Yang bermaksud: Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".

Hadis Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Beliau pernah ditanya tentang kebangkitan di akhirat. Maka beliau berkata: Kita dibangkitkan pada Hari Kiamat begini dan begini. Lihatlah! Ertinya: kedatangan manusia itu mengikut darjat masing-masing. Lalu dipanggil umat-umat dengan berhalanya dan apa yang mereka sembah suatu ketika dahulu, secara berturutan. Setelah itu, Tuhan datang kepada kita lalu berfirman: Siapakah yang kamu tunggu? Maka mereka pun menjawab: Kami menunggu Tuhan kami. Allah berfirman: Akulah Tuhan kamu. Mereka akan berkata: Sehingga kami melihatMu dulu. Terserlah pada mereka Tuhan tertawa. Lalu Dia membawa mereka dan mereka pun mengikutiNya. Setiap seorang di antara mereka samada munafik atau mukmin akan diberi nur iaitu cahaya. Kemudian mereka mengikuti cahaya tersebut melalui jambatan Neraka Jahanam, terdapat besi-besi pengait dan berduri yang boleh meragut sesiapa saja yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian nur iaitu cahaya orang-orang munafik padam, sedangkan orang-orang mukmin selamat. Selamatlah rombongan pertama yang terpancar pada wajah mereka bagaikan bulan purnama seramai tujuh puluh ribu orang tanpa dihisab. Kemudian orang-orang berikutnya seperti terangnya bintang-bintang di langit, demikianlah seterusnya. Kemudian syafaat diizinkan. Mereka pun meminta syafaat, sehingga mereka dapat mengeluarkan dari Neraka sesiapa yang melafazkan: dan di hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum. Mereka akan ditempatkan di halaman Syurga lalu Ahli Syurga akan memercikkan mereka dengan air sehinggalah daging mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu tumbuhan selepas banjir dan hilanglah hangusnya. Kemudian dia iaitu orang terakhir meminta, sehingga diberikan kepadanya dunia dengan sepuluh kali ganda.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa: Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.

DARI ITU BERINGATLAH KITA SEMUA, APA YANG KITA TELAH JANJIKAN DI ALAM ROH, BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH YANG TELAH MENCIPTA KITA DARI ALAM RAHIM LAGI, LAKSANAKANLAH APA YANG DI WAJIBKAN DAN JAUHI PERKARA YANG DILARANG SEMASA DIALAM DUNIA DAN AKHIR SEKALI INGATLAH SYURGA/NERAKA YANG TELAH ALLAH JANJIKAN.

SEMUGA TUAN-TUAN MENDAPAT FAEDAH DARI APA YANG DINYATAKAN DIATAS DAN SAMPAIKAN KEPADA MEREKA-MEREKA YANG MAHU BERINGAT

SILA TEKAN BERIKUT UNTUK DI SAMBUNGKAN TERUS KE KALIMAH

Asaspedoman

* A M I N *

KALIMAH