Ditulis oleh : ASAS

P E D O M A N

Email : asassg@yahoo.com

   Kuliah: Ust. Abdullah Loutfi                                                                                  


ALAM BARZAKH (ALAM KUBUR )


Alam barzakh ialah alam yang keempat yang semestinya akan ditempuh oleh setiap manusia didunia ini. Mereka akan tinggal tetap padanya sehingga hari mereka dibangkitkan semula.

Allah berfirman dalam surah Al-Mu'minun ayat 114, juz kelapan belas.

Yang bermaksud: Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

Di alam ini segala kekayaan, anak-anak, hartabenda, keseronokan yang penuh dengan tipu daya, pangkat dan lain-lain, tidak akan dapat mebantu/menolong kita lagi. Hanyalah amalan dan bekalan akhirat yang kita tunaikan mengikut suruhan Allah yang ditunjuk oleh Nabi Muha- mmad s.a.w dapat membatu kita. Tiada penyasalan yang dapat di ubah walaupun sesaat.

Allah berfirman dalam surah Al-Imraan ayat 185, juz ketiga.

Yang bermaksud: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Allah berfirman dalam surah As-Sajdah, ayat 11, juz keduapuluh satu.

Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".

Allah berfirman dalam surah Al-Munaafiquun, ayat 10 & 11, juz keduapuluh lapan.

Yang bermaksud: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Dari itu ingatlah janganlah kita lalai dengan urusan dunia hingga terlupa dengan kewajipan akhirat. Sebelum ajal kita sampai hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dengan melaksanakan perintahNya

Allah berfirman dalam surah Al-Mu'minun' ayat 99 & 100, juz kelapan belas.

Yang bermaksud: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang solih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ALAM BARZAKH (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka di bangkitkan semula pada hari kiamat. Dari itu beringatlah, hendaklah kita menolak kejahatan dan melakukan kebaikan dan berlindunglah dengan Allah dari hasutan Syaitan syaitan. Jika kita takut dengan azab yang dijanjikan oleh Allahkepada orang-orang yang lalai, sebelum kita menemui ajal, hendaklah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah.

Hadis Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya akan memasuki Neraka. Maka aku berkata iaitu perawi Hadis: Aku dan orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, akan memasuki Syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Jibril a.s telah mendatangi aku lalu memberitahu berita gembira, iaitu sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, nescaya dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Aku bertanya: Walaupun dia berzina dan mencuri? Rasulullah bersabda: Walaupun dia berzina dan mencuri.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang dari kamu berada dalam keadaan tasyahhud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa: yang bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari siksaan Neraka Jahannam, dari siksa Kubur, dari fitnah semasa hidup dan selepas mati serta dari kejahatan fitnah Dajjal.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang itu mati, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli Syurga, akan diperlihatkan kepadanya Syurga. Sekiranya dia dari kalangan ahli Neraka, akan diperlihatkan kepadanya Neraka. Diberitahu kepadanya: Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada Hari Kiamat kelak maut didatangkan seperti kibas belang (Abu Kuraib menambah di dalam riwayatnya: Lalu dihentikan antara Syurga dan Neraka. Mereka sepakat pada baki Hadis). Kemudian diseru: Wahai penghuni Syurga! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu berkata: Ya! Ini adalah maut. Kemudian diseru pula: Wahai ahli Neraka! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu menjawab: Ya! Itu adalah maut. Kemudian diperintahkan supaya maut disembelih dan menyeru: Wahai ahli Syurga! Kamu tetap kekal dan tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tetap kekal dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat Yang bermaksud: Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputus dan mereka dalam kelalaian serta tidak beriman. Kemudian baginda menunjuk ke arah dunia dengan tangan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaanNya dan SyurgaNya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya siksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya.

SILA TEKAN BERIKUT UNTUK DI SAMBUNGKAN TERUS KE ALAM AKHIRAT

Asaspedoman

* A M I N *

ALAM AKHIRAT