Ditulis oleh : ASAS

P E D O M A N

Email : asassg@yahoo.com

   Kuliah: Ust. Abdullah Loutfi                                                                                  


ISRA' MI'RAJ NABI MUHAMMAD S.A.W


ISRA' ertinya ialah Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsha di Pelestin dalam waktu yang sebentar.

Firman Allah surah Al-Israa' ayat 1.

Yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

MI'RAJ ertinya Perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan selanjutnya sampai ke Sidratul Muntaha, yakni dari Masjidil Aqsha di Palestin (Syam) naik ke atas melalu beberapa lapis yang bertingkat, terus menuju Baitul Ma'mur dan ke Sidratul Muntaha, ke 'ARASY untuk menerima wahyu Allah yang mengandung perintah solat lima waktu sehari semalamnya.

Firman Allah surah Al-Israa' ayat 44.

Yang bermaksud: Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Peristiwa ini menurut Jumhur Ulama terjadi pada tanggal

27 Rejab tahun ke sepuluh sebelum hijrah, yakni setahun sebelum Nabi Muhammad s.a.w hijrah ke Madinah.

Hadis Rasulullah s.a.w . Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mengerjakan sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seakan-akan seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mengerjakan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mengerjakan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah Sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga Neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku.

RIWAYAT ISRA' DAN MI'RAJ

Nabi Muhammad s.a.w waktu akan di Isra'kan oleh Allah s.w.t, Beliau sedang tidur di Hijir Isma'il dekat Ka'abah, bersama-sama Hamzah pamannya dan Ja'afar bin Abi Thalib. Dalam riwayat lain dinyatakan bahawa Beliau waktu itu sedang tidur di rumah Ummi Hani binti Abi Thalib dan waktu itu datang Malaikat Jibril dan Mika-il dan Malaikat lainnya. Kemudian para Malaikat itu membawa Nabi Muhammad s.a.w ke Sumur Zamzam, untuk di belah dadanya dan dikeluarkan hatinya, lalu hatinya itu di cuci dengan air Zamzam. Setelah bersih lalu di masukan kembali dengan di penuhi Ilmu, Iman, hikmat dan kesabaran. Sesudah itu baru dada Beliau di tangkupkan kembali. Walaupun pada hakikatnya kita tahu Nabi Muhammad s.a.w, seorang yang sudah cukup sempurna segala-galanya, Beliau seorang yang penuh mempunyai Ilmu, kesabaran dan kuat Imannya serta menjadi sumber ke Islaman, tetapi kerana Beliau akan melaksanakan tugas ketempat yang luar biasa, maka di tambah dengan bermacam-macam kesempurnaan dari Allah s.w.t. Setelah selesai Nabi Muhammad s.a.w menjalani operasi pembersihan jiwa, yakni di isi dengan Ilmu, Iman, Hikmat dll. Kemudian Malaikat Jibril mempersilakan Beliau menaiki kenderaan yang telah tersedia yang di beri nama BURAQ.

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Malik bin Sokso'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berada di tepi Baitullah dalam keadaan separuh tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari tiga lelaki iaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka membawa sebuah bekas daripada emas yang berisi air Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah hinggalah ke sini dan ke sini. Qatadah berkata, aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku: Apakah yang baginda maksudkan? Beliau menjawab: Hingga ke bawah perut baginda. Baginda terus bersabda lagi: Hatiku telah dikeluarkan dan dibersihkan dengan air Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tampat asal. Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmah, lalu dibawa pula kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali sebagai Buraq, ia lebih besar dari kaldai dan lebih kecil dari baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu Jibril a.s meminta agar dibukakan pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya: Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu Jibril menjawab: Muhammad s.a.w. Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan? Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang, sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi Nabi Adam a.s. Hadis ini menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s di langit kedua, manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di langit keempat bertemu pula dengan Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda bertemu pula dengan Nabi Harun a.s. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku menemui Nabi Musa a.s dan memberi salam kepadanya. Beliau segera menjawab: Selamat datang wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya, beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab: Wahai Tuhanku! Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi umatnya paling ramai memasuki Syurga berbading dengan umatku. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit ketujuh, lalu aku mengunjungi Nabi Ibrahim a.s. Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai yang keluar dari pangkalnya iaitu dua batang sungai yang jelas kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Wahai Jibril! Sungai-sungai apakah ini? Jibril menjawab: Dua batang sungai yang samar-samar itu merupakan sungai Syurga, manakala yang jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku dibawa naik ke Baitul Makmur, lalu aku bertanya: Wahai Jibril, apakah ini? Lalu Jibril menjawab: Ini adalah Baitul Makmur, setiap hari tujuh puluh ribu Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Keduanya dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu dan umatmu dalam keadaan fitrah iaitu kebaikan dan keutamaan. Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke akhir Hadis

Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari kaldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis.

PERJALANAN NABI S.A.W DARI MEKAH KE BAITIL MAQDIS

Selanjutnya mulailah perjalanan yang amat bersejarah. Tidak lama sampai lah Beliau di suatu negeri bernama Taibah. Negeri Taibah ini pada masa-masa lalu di zaman para Nabi terdahulu adalah merupakan sumber segala ilmu pengetahuan. Akhirnya orang menyebut negeri ini dengan nama Madinah yang diertikan sebagai Negeri Sumber Segala Pengetahuan. Dikota Madinah ini Beliau bersama Jibril turun dan melakukan solat dua raka'at. Selanjutnya Beliau meneruskan perjalanan dan sesaat sampailah di Syajarah Musa, di tempat ini Beliau dan Jibril melakukan solat sunnah dua raka'at. Selesai solat Beliau meneruskan perjalanan yang tidak lama sampailah ke Bukit Tusina yaitu tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu dari Allah s.w.t. Di tempat ini Beliau turun dan melakukan solat dua raka'at. Ini memberikan pelajaran kepada kita, bahawa apabila kita memasuki masjid, hendaklah melakukan solat dua raka'at sebagai

solat Tahiyyatal mesjid.

Perjalanan di teruskan dan sampailah ke Baitul-Lahmi, tempat kota kelahiran Nabi 'Isa a.s. Di Baitul-Lahmi inipun Beliau turun dan melakukan solat dua raka'at, kemudian perjalan diteruskan dan tidak lama sampailah ke Baitul Maqdis. Di Baitul Maqdis ternyata telah berkumpul para Nabi terdahulu, menantikan kedatangan Beliau. Di Baitul Maqdis bersolat berjama'ah dengan para Nabi terdahulu sebagai Imam solat.

Antara peristiwa ganjil yang dihadapi oleh Rasullullah s.a.w sewaktu Isra' adalah sebagai berikut:

  1. Di ceritakan bahawa setelah selesai bersolat, selanjutnya Beliau meneruskan perjalanan, akan tetapi tiba-tiba datang jin 'Ifrit mengejar Beliau dengan obor dari belakang, dengan maksud merintangi perjalanan Beliau. Lalu Beliau membaca do'a keselamatan perjalanan yang di ajar oleh Malaikat Jibril, lalu terjerumus 'Ifrit dan terus hancur binasa, maka selamatlah Beliau dari gangguan `Ifrit dan akhirnya sampai jugalah ke Masjidil Aqsha di Palestin.

  2. Seterusnya dalam perjalanan, Beliau menyaksikan dengan sekelompok manusia yang bercucuk tanam dan seketika dapat di tuai (dipetik) hasilnya. Nabi pun merasa hairan lalu bertanya kepada Jibril?....Jibril menjawab: Mereka adalah ibarat umat tuan yang suka menginfaqkan harta bendanya untuk menegakkan kalimah Allah, mensyi'arkan keagungan Allah dan beramal solih.

  3. Kemudian dalam perjalanan seterusnya Beliau mencium bau yang sangat menyusuk hidung, Beliau bertanya Jibril?.... Jibril menjawab: Ini adalah bau Masyithah (Tukang gunting di istana Fir'aun) sekeluarga yang merelakan diri mereka di ceburkan ke dalam belanga yang berisi timah mendidih oleh Fir'aun lantaran keteguhan Iman mereka kepada Allah dan tidak mengakui Fir'aun sebagai Tuhan.

  4. Selanjutnya dalam perjalanan itu Beliau melihat segulongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepalanya utuh kembali, lalu dihancurkan semula, demikianlah seterusnya. Nabi s.a.w lalu bertanya kepada Jibril?.. Jibril menjawab: Mereka adalah perumpamaan segulongan umat tuan yang suka melengah-lengah (mengulur-ulur) waktu solat, sampai akhirnya habis waktu yang di tentukan.

  5. Selanjutnya dalam perjalanan Beliau melihat orang-orang yang memakan kayu berduri serta batu panas yang membara dari neraka Jahannam. Lalu Beliaupun bertanya Jibril?..Jibril menjawab: Mereka adalah perumpamaan orang-orang yang tidak mau mengeluarkan zakatnya. Jelas mereka termasuk orang yang menganiaya diri sendiri.

  6. Selanjutnya dalam perjalanan Nabi s.a.w melihat segolongan manusia yang masing-masingnya menghadapi dua buah mangkok, mangkok yang satu berisi daging yang sudah dimasak dan yang satunya lagi berisi daging mentah. Akan tetapi anehnya mereka lebih suka memakan daging yang mentah. Bertanya Nabi s.a.w kepada Jibril?..Jibril menjawab: Mereka adalah gambaran diantara umat tuan yang senang berbuat zina. Mereka sebenarnya telah mempunyai isteri yang sah, akan tetapi mereka senang melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan lain yani berzina. Demikianlah pula yang perempuan melacurkan dirinya.

  7. Selanjutnya dalam perjalanan Nabi s.a.w menyaksikan pula ada kayu yang berduri melintang di tengah jalan. Sesiapa yang melaluinya pasti akan ditarik dan dikaitnya sehingga pakaian akan koyak. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril?...Dijawab oleh Jibril: Itulah suatu perumpamaan dari golongan umat yang suka membuat kekacauan dan suka duduk-duduk ditepi jalan, sehingga menggangu orang-orang yang melewati jalan itu.

  8. Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan orang-orang yang berenang dalam sungai darah, lalu mereka di lempari dengan batu, akan tetapi kemudian batu-batu itu mereka makan. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril?..Dijawab oleh Jibril: Mereka perumpamaan segolongan manusia yang suka memakan riba dan duit haram.

  9. Tidak lama kemudian Nabi s.a.w menyaksikan seorang lelaki yang memikul beban (kayu), tetapi tidak kuat berjalan, anehnya beban itu semakin bertambah dan begitulah seterusnya sehingga orang itu kepayahan dan terseksa. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril?..Jawab Jibril: Dialah gambaran orang yang suka menerima amanat orang lain tetapi tidak mau menunaikan (menyampaikannya) kepada yang berhak.

  10. Selanjutnya dalam perjalanan itu Nabi menyaksikan orang-orang yang memotong lidah dan bibirnya dengan gunting besi, seketika itu utuh kembali, namun segera pula di gunting lagi, begitulah seterusnya, sehingga mereka merasa penderitaan yang amat berat. Nabi s.a.w. bertanya kepada Jibril?..Jibril menjawab: Mereka adalah perumpamaan dari golongan manusia yang suka memberi nasihat kepada orang lain untuk membuat baik, tetapi ia sendiri tidak pernah melakukan kebaikan seperti yang di nasihatkan kepada orang lain.

  11. Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan manusia yang tengah mencakar-cakar wajahnya dan dadanya dengan kukunya sendiri yang telah berubah menjadi kuku tembaga. Nabi s.a.w bertanya kepada Jibril? Jawab Jibril: Mereka adalah perumpamaan orang-orang yang suka menceritakan keaibpan (keburukan), rahsia, kecacatan dan kejelekan orang lain, dengan membesar-besarkannya kepada orang lain.

  12. Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan sekelompok manusia yang mempunyai bibir seperti unta, lalu disuapkan bara kedalam mulutnya. Ini adalah contoh bagi mereka yang memakan harta anak yatim dengan jalan salah.

  13. Selanjutnya Nabi s.a.w menyaksikan saekor lembu besar keluar dari lubang yang sangat sempit lalu ia berusaha untuk memasukinya kembali tetapi tidak berjaya. Itu adalah contoh bagi mereka yang bercakap besar dan dusta, lalu ia ingin menarik kembali percakapannya itu tetapi tidak berpeluang lagi.

  14. Menyaksikan sekelompok wanita yang di gantung buah dadanya sambil mereka menjerit-jerit meminta pertolongan. Ini adalah gambaran wanita yang menyusukan anak mereka hasil dari berzina dengan lelaki yang bukan suaminya.

  15. Menyaksikan sekelompok wanita yang di gantung rambutnya diatas api neraka sehingga mendidih otak di kepalanya. Ini adalah gambaran balasan kerana mereka tidak mahu menutup aurat di kepala dari di pandang lelaki yang bukan mahramnya.

  16. Menyaksikan sekelompok wanita yang digantung lidahnya diatas api neraka lalu dituangkan air panas ke dalam mulutnya. Ini adalah gambaran balasan kerana mereka selalu menyakiti hati suaminya dan bercakap dengan suara yang kasar serta tinggi.

Itulah sebahagian riwayat-riwayat yang sering kita temui dalam kitab-kitab kisah Isra' Mi'raj yang meskipun oleh para Ilmu Agama dikatakan bersumber dari keterangan yang lemah, namun yang jelas isinya merupakan peringatan untuk kita berhati-hati di dalam kehidupan dunia.

PERJALANAN NABI S.A.W DARI MASJIDIL AQSHA KE SIDRATIL MUNTAHA

Selanjutnya mari kita telusi perjalanan Nabi Nuhammad s.a.w dari Masjidil Aqsha ke Sidratil Mustaha, yakni Mi'raj. Sebagaimana telah di terangkan dalam huraian terdahulu, bahawa Nabi telah bersolat berjama'ah bersama Nabi-nabi dan Nabi s.a.w memperolehi kehormatan bertindak sebagai Iman solat. Setelah selesai solat bersama para Nabi, Beliau keluar dari Masjidil Aqsha, kemudian Nabi s.a.w. berkata kepada Jibril: Wahai Jibril aku merasa haus. Jibril telah menyadiakan dua buah gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. Lalu Nabi pun memilih gelas berisi susu dan meminumnya. Jibril pun berkata: Andai tuan memilih arak, maka niscaya akan sesatlah ummat tuan.

Selanjutnya Malaikat Jibril menyediakan tangga Mi'raj yang diambil dari syurga. tangga Mi'raj itu di perbuat daripada emas dan perak berlapis mutiara. Melalui tangga inilah dengan berkendaraan Buraq Nabi s.a.w, bersama Malaikat Jibril lalu naik ke langit pertama yaitu langit dunia.

Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Nabi Muhammad s.a.w. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah Nabi Muhammad s.a.w telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, Beliau telah diutuskan. Kemudian pintu langit pun dibuka, Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril segera masuk ke langit pertama.

( SILA TEKAN BERIKUT UNTUK SAMBUNGAN ISRA' MI'RAJ )

PAPARAN UTAMA

* A M I N *

SAMBUNGAN ISRA'MI'RAJ