Ditulis oleh : ASAS

P E D O M A N

Email : asassg@yahoo.com

   Kuliah: Ust. Abdullah Loutfi                                                                                  


SEMBAHYANG MALAM


Banyak ayat-ayat Al-Qur,an yang difirmankan oleh Allah memerentahkan umatNya untuk beribadat pada waktu malam iaitu separuh daripada malam atau kurangkan sedikit dari separuh malam. Kita boleh melakukan ibadat seperti sembahyang Sunat Tahajjud, Sunat Tasbih, Sunat Taubat, Sunat Hajat, membaca Al-Quran, berzikir, bertasbih serta memuji Allah, bertafakur kepada Allah, beristighfar (memohon ampun) di atas segala dosa dan lain-lain. Diantaranya adalah seperti berikut:

Allah berfirman dalam surah Al-Insaan ayat 25 & 26.

Yang bermaksud: Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang; Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.

Dalam surah Al-Muzzammil, surah ke 73 yang diturunkan di Mekah - Allah memerentah kita bangun sembahyang Tahjut pada waktu malam. Sila rujuk pada ayat 1 hingga 20.

Yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil" (ya'ni dengan bacaan yang terang jelas dan betul menurut ilmu tajwid)..(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

Allah berfirman dalam surah Al-Muzzammil ayat 20.

Yang bermaksud: Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berfirman dalam surah A-Li 'Imran ayat 17.

Yang bermaksud: (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Allah berfirman dalam surah Al-Israa' ayat 79.

Yang bermaksud: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Allah berfirman dalam surah As-Sajdah ayat 16.

Yang bermaksud: Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Hadis Rasulullah s.a.w

Sesungguhnya Allah Ta'ala turun kelangit dunia tiap-tiap malam, pada 1/3 akhir malam. Barang siapa berdoa ketika itu, maka Allah akan perkenankan permintaannya. Barang siapa meminta ampun, Allah akan mengampunkannya. Bagi kamu wajib bangun malam, kerana bangun malam itu makan minum orang-orang yang solih.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya

Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk menunaikan sembahyang tahajjud, baginda menggosok gigi dengan sugi

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Aku telah masuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu hujung sugi masih berada di hujung lidah iaitu mulut baginda .

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melakukan sembahyang Dhuha dua rakaat dan melakukan sembahyang sunat witir sebelum tidur.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukan sembahyang malam sebanyak sebelas rakaat, salah satu daripadanya sembahyang Witir. Apabila baginda selesai sembahyang baginda berbaring di atas lambung kanan sehinggalah baginda mendengar suara tukang azan, lalu baginda mendirikan sembahyang dua rakaat dengan ringkas

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Sesiapa yang sembahyang malam, maka hendaklah dia mengakhiri sembahyang itu dengan sembahyang Witir. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkan begitu

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w bangun pada malam hari untuk mendirikan sembahyang, baginda akan berdoa: Yang bermaksud: Segala puji bagiMu. Engkau adalah cahaya langit dan bumi. Segala puji bagiMu. Engkaulah yang mengatur segala urusan makhluk di langit dan di bumi. Segala puji hanyalah bagiMu. Engkau adalah Tuhan di langit dan bumi serta semua yang terkandung di antara keduanya. Engkau adalah benar. JanjiMu adalah benar. FirmanMu adalah benar. Peristiwa perjumpaan denganMu (Hari Akhirat) adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Hari Kiamat adalah benar. Ya Allah! Hanya kepadaMu aku berserah. KepadaMu jugalah aku beriman. KepadaMu jugalah aku bertawakkal. KepangkuanMu jugalah aku kembali. KepadaMu jugalah aku mengadu. KepadaMu jugalah aku mengambil keputusan. Maka ampunilah daku, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan dosa-dosaku yang akan datang, yang aku lakukan secara diam-diam ataupun terang-terangan. Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau.

Allah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11.

Yang bermaksud: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

SEMUGA TUAN-TUAN MENDAPAT FAEDAH DARI APA YANG DINYATAKAN DIATAS DAN SAMPAIKAN KEPADA MEREKA-MEREKA YANG MAHU BERINGAT.


~ A L H A M D U L L I L L A H ~

( SILA TEKAN BERIKUT UNTUK KE PEDOMAN AGAMA ALLAH )

PAPARAN UTAMA

* A M I N *

AGAMA ALLAH